Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEKTOR perdagangan dan hubungan dua hala khususnya antara Johor dan China diyakini dapat diperkukuh dengan lebih baik melalui cadangan penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr. Chong Fat Full berkata, pejabat tersebut akan turut berperanan mempromosikan sektor lain seperti pelancongan dan kebudayaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah bersetuju dengan cadangan penubuhan pejabat tersebut pada 2 April 2018.
“Sultan Ibrahim berkenan mencadangkan kepada bekas Duta Besar China, Bai Tian untuk menubuhkan Pejabat Konsulat Jeneral China di Johor bagi terus memperkukuh hubungan dua hala antara Johor dan Republik China.
“Pada 2 Februari lalu, Duta Besar China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing juga telah memberikan maklum balas bahawa kerajaan China sedang mengkaji dan meneliti mengenai saranan Sultan Ibrahim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, cadangan penubuhan pejabat tersebut amat tepat pada masanya dan pihaknya komited untuk mendokong hasrat dan saranan Sultan Johor mengenai perkara berkenaan.
“Justeru itu, saya telah mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan bersama Menteri dan Timbalan Menteri Luar Negeri pada 4 Oktober lalu bagi membuat susulan mengenai cadangan ini,” katanya.
Leave a Reply