Oleh RIZQI ZABIDI
KALANGAN perantau yang berhasrat pulang ke kampung bermula hari ini, diingatkan supaya tidak sama sekali menggunakan kad vaksinasi palsu atau bakal berdepan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya kini sudah mula mengaktifkan empat pasukan pemantau bagi memastikan mereka yang merentas negeri ke bandar raya ini, hanya terdiri daripada individu yang telah lengkap divaksin.
Jika tertangkap katanya, individu yang menggunakan kad vaksinasi palsu itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Empat pasukan pemantau itu akan melakukan pemeriksaan di pasar raya, kedai makan dan hentian lebuh raya bagi memastikan golongan perantau yang melakukan perjalanan merentas negeri, sudah lengkap divaksin.
“Selain empat pasukan pemantau di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, sembilan balai polis lain yang terletak di bawah IPD ini juga akan menubuhkan pasukan pemantau masing-masing bagi tujuan sama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau poses penutupan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Alor Setar Utara, malam tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan, kerajaan bersetuju membenarkan rakyat untuk merentas negeri setelah peratusan rakyat Malaysia yang lengkap divaksinasi telah mencapai 90 peratus.
Keadaan itu bermakna, sempadan negeri di seluruh negara dibuka serentak mulai hari ini namun hanya mereka yang lengkap divaksin saja dibenarkan merentas negeri dan pemeriksaan secara rawak akan dilakukan bagi mengesan individu yang didapati melanggar arahan tersebut.
Ahmad Shukri berkata, susulan pengumuman kerajaan itu, tiga SJR iaitu di Plaza tol Alor Setar Selatan, Plaza Tol Alor Setar Utara dan Plaza Tol Hutan Kampung ditutup sepenuhnya pukul 12 tengah malam tadi.
“SJR ditutup tetapi kita akan terus melakukan pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut terhadap orang ramai yang masuk daerah Kota Setar.
“Dijangkakan jumlah pengguna jalan raya mungkin akan bertambah berikutan kepulangan orang ramai ke kampung dan keadaannya mungkin bertambah sesak pada hujung minggu,” katanya.
Leave a Reply