PARTI Kuasa Rakyat yang dilancarkan di Kuala Lumpur hari ini mengetengahkan ideologi nasionalisme marhaenisme sebagai teras dalam perjuangannya membela nasib rakyat khususnya golongan B40, M40 dan anak muda.
Presiden (Penaja) Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob berkata, antara agenda perjuangan partinya adalah menuntut hak-hak dan keperluan rakyat terutamanya mereka yang dalam tiga kategori terbabit.
Antaranya adalah pelajaran percuma, kesihatan percuma, perumahan, peluang pekerjaan dan penumpuan terhadap para petani.
“Turut membaris perjuangan parti adalah kelestarian dan keadilan alam sekitar dan membebaskan rakyat dari cengkaman orang tengah serta kaum modal,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran parti tersebut.

Kamarazaman yang juga abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Parti Kuasa Rakyat bukan hanya sebuah parti yang benar-benar demokratik, malah merupakan parti yang pertama di negara ini yang memberi kuasa autonomi sebenarnya kepada para ahli di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, mereka bukan hanya diberi kebebasan memilih kepimpinan di peringkat negeri, juga memilih wakil dalam Jawatankuasa Pusat bagi memenuhi kuota, yang bermula dari jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota JKP.
Kamarazaman juga menjelaskan, hasrat ingin menubuhkan sebuah parti berbilang bangsa dan kaum itu mula bercambah sejak beliau menunut di Universiti Malaya.
“Ia berbunga selepas saya meninggalkan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) pada 1984. Tetapi tiada kemampuan dan kesempatan. Bagaimanapun,ianya terus segar merimbun di dalam fikiran.
“Sehinggalah saya menemui rakan-rakan progresif sejak lebih dua tahun lepas. Kami serius dalam penubuhannya, sehingga ingin meluncurkannya pada 10 Oktober 2020.
“Namun usaha itu tidak tercapai. Alhamdulillah pada hari ini 10 Oktober 2021, muncul ke gelanggang politik tanah air,” ujarnya.
Ahli-ahli Jawatankuasa (Penaja) Parti Kuasa Rakyat adalah seperti berikut:
Presiden: Kamarazaman Yaakob (aktivis politik)
AJK:
- Nik Abdul Aziz Nik Hassan (bekas pensyarah)
- Dr Gabriel Walter (jurutera)
- N Gobalakrishnan (bekas Ahli Parlimen Padang Serai)
- Prof Datuk Dr Mohamad Nasir Saludin (ahli akademik)
- Dr Hamzah Jaaffar (bekas Pengerusi PAN Pahang)
- Datuk Anas Yusof Sulaiman (usahawan)
- Prof Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah (penyelidik)
- Helmi Ibrahim (bekas pengamal media)
- Razali Abd Razak (aktivis belia)
- Suharmili Rosle (bekas pengarah sebuah kolej universiti)
- Datuk Ching Eu Boon (Presiden Gabungan Persatuan Perkembangan Budaya dan Ekonomi Malaysia – GABEM)
Leave a Reply