Parti Kuasa Rakyat

Parti Kuasa Rakyat pimpinan Abang PM dilancar esok

PARTI Kuasa Rakyat yang diterajui abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual dilancarkan di ibu negara esok.

Memetik laporan BH Online, Kamarazaman Yaakob yang diberi jolokan ‘Bung Kamara’ akan bertindak selaku Presiden Penaja Parti Kuasa Rakyat.

Parti tersebut yang berteraskan perjuangan rakyat marhaen, alam sekitar, keadilan sosial dan hak asasi manusia itu juga difahamkan telah mengadakan libat urus pertama bagi tujuan pendaftaran dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Setiausaha Agung Penaja Parti Kuasa Rakyat, Dr. Helmi Ibrahim memaklumkan, parti itu ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana pergerakan politik lain didakwa gagal membawa aspirasi membela masyarakat marhaen.

Pada masa sama, kata Helmi, penubuhan parti itu bagi memecah dominasi parti politik di negara ini yang dilihat lebih dikuasai golongan pemimpin elit.

“Kalau kita lihat parti politik sekarang, tiada yang boleh kita namakan khusus untuk perjuangkan golongan marhaen, justeru kebanyakan didominasi kumpulan elit politik.

“Oleh itu, Parti Kuasa Rakyat ditubuhkan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat, mesra golongan muda dan memberi penekanan terhadap isu alam sekitar.

“Parti ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, berbilang kaum, malah kita beri penghormatan kepada Sabah dan Sarawak, dengan memperuntukkan kerusi timbalan dan naib presiden dalam kalangan kepemimpinan Sabah serta Sarawak.

“Pada masa sama, kita mempunyai fakulti pemikiran sendiri dan tidak sekadar mendambakan kuasa. Ada perkara teras yang kita perjuangkan,” katanya, hari ini.

Rabu lalu, media laporkan Kamarazaman akan menubuhkan sebuah parti politik baharu dengan sekumpulan pengasas telah mengadakan mesyuarat sejak dua bulan lalu termasuk beberapa individu dari Sabah, Sarawak dan ramai ahli politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kamarazaman merupakan bekas Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU), salah seorang peserta demonstrasi Baling 1974 untuk membantah kemerosotan harga getah.

Beliau kemudian ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *