KERAJAAN memberi jaminan bekalan kit ujian kendiri antigen Covid-19 di pasaran mencukupi untuk menampung permintaan yang dijangka meningkat susulan kebenaran rentas negeri yang akan diumumkan kerajaan beberapa hari lagi.
Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid memberitahu, ketika ini terdapat kira-kira enam juta kit ujian tersebut di pasaran.
“Terkini kira-kira 28 syarikat pembekal diberikan lesen untuk mengilang dan mengedar kit ujian kendiri itu.
“Jumlah ini dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa dan sekaligus akan meningkatkan bekalan kit ujian kendiri antigen Covid-19 di pasaran,” katanya ditemui selepas merasmikan program Fun Ride di Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.
Katanya, daripada segi alat rakyat tidak perlu bimbang dan kerajaan sedang mengusahakan untuk membenarkan alat-alat itu bukan sahaja dijual di farmasi dan premis-premis perubatan, tetapi kita mahu dijual di pasar raya dan kedai runcit serta tempat yang mengikut syarat.
“Ini akan menjadi satu kemudahan kepada masyarakat, pada anak sekolah dan pada keluarga,” katanya.
Sebelum ini kerajaan menetapkan harga runcit maksimum kit ujian kendiri Covid-19 adalah RM19.90 manakala harga borong RM16.
Penetapan harga tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira keperluan rakyat.
Leave a Reply