Budak 8 tahun

Kejayaan budak 8 tahun kumpul sumbangan RM7,000 dipuji Sultan Johor

UMURNYA baru 8 tahun, tetapi itu tidak menjadi penghalang bagi Krishh Haran Nair untuk mengumpulkan sejumlah RM7,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) sekaligus menjadikan dia penyumbang termuda buat yayasan berkenaan.

Kejayaan Krishh itu telah menarik perhatian serta pujian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim menzahirkan kekagumannya dengan bertitah bahawa tindakan kanak-kanak itu adalah satu inspirasi buat masyarakat dan boleh dijadikan contoh ikutan.

“Saya berasa berbangga dengan kanak-kanak lelaki ini dan ibu bapa mereka kerana telah membesarkan seorang anak yang cerdik dan baik hati.

“Kamu adalah inspirasi kepada orang lain dan seharusnya menjadi ikutan ramai. Saya berterima kasih dengan usaha yang kamu lakukan untuk membantu orang lain yang memerlukan,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Krishh menghabiskan tempoh satu bulan untuk menulis kisah ringkas bertajuk ‘A Mysterious War to the Deep’ yang merupakan satu tugasan atas talian diberikan oleh gurunya, Alicia Bailey.

Hasilnya kemudian ditukarkan dalam format e-buku dan juga versi cetakan dengan bantuan ibu bapanya selepas dia memaklumkan mahu menjual karya berkenaan untuk mengutip wang bertujuan untuk menyumbang kepada pihak memerlukan.

Bapa kanak-kanak itu, N. Ramakrishnan berkata, anaknya sentiasa mempunyai perasaan belas ihsan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Semasa kecil, dia selalu meminta kami membantu golongan gelandangan dan akan menangis sehinggalah kami melakukan sesuatu untuk membantu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *