Oleh RIZQI ZABIDI
SAMA ada penduduk di Kedah atau Perlis, kedua-duanya dinasihatkan supaya tidak merentas negeri secara haram bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal di dua negeri paling utara dalam semenanjung tanah air itu.
Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor, arahan kerajaan yang masih tidak membenarkan kegiatan rentas negeri perlu terus dipatuhi supaya tidak berlaku penularan yang mungkin sukar untuk dikawal.
Begitu pun katanya, beliau setakat ini tidak menerima laporan menyatakan bahawa penularan Covid-19 di kedua-dua negeri berpunca daripada kegiatan rentas secara haram.
“Kita pun tak pasti kerana cuma baca perkara itu dari akhbar dan tak dapat laporan rasmi. Tetapi kalau benar berlaku, kita harap mereka yang buat demikian agar hentikanlah.
“Orang Kedah usah ke Perlis dan penduduk Perlis pun jangan datang ke Kedah hingga rentas negeri dibenarkan nanti. Kalau masuk ke salah satu negeri ini sekarang dan dijangkiti, lalu pulang ke negeri masing-masing, tak mustahil berlaku penularan dua hala menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar dikawal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat negeri Kedah di Dataran Pantai Chenang di Langkawi, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, aktiviti rentas negeri secara haram menjadi punca jangkitan harian COvid-19 di Perlis melonjak hingga 200 kes pada Khamis lalu.
Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, Noor Hisham turut tidak menolak kemungkinan individu tidak bertanggungjawab tersebut memasuki Perlis melalui jalan tikus bagi mengelak sekatan jalan raya.
Leave a Reply