Adnan Mat Cuepacs KWSP Adib

Dedah hasil siasatan kes Adib kepada umum – CUEPACS

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap dapatan daripada siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dimaklumkan kepada orang ramai.

Presidennya, Adnan Mat berkata, langkah itu bertujuan menjamin ketelusan siasatan.

Menurut beliau, CUEPACS menaruh harapan yang tinggi agar keadilan untuk arwah Muhammad Adib dituntut kerana ia penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang terutamanya melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara.

“Pada masa yang sama CUEPACS juga berharap isu ini tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak.

“Sebaliknya, fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah bagi mencari pesalah yang terlibat, menuntut keadilan serta memberi jaminan perkara sama tidak berulang kepada mana-mana penjawat awam pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kabinet memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Menurut Ismail Sabri, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Adnan menambah, CUEPACS mewakili seluruh warga perkhidmatan awam terutama anggota bomba menyambut baik keputusan kerajaan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes Allahyarham Muhammad.

Beliau memberitahu, keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah sejajar dengan hasrat CUEPACS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri serta keseluruhan rakyat Malaysia agar kematian arwah adib dapat diberikan keadilan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara.

“CUEPACS menghargai dan berterima kasih atas keputusan kerajaan dalam meneruskan siasatan kes kematian arwah Muhammad Adib.

“Sudah tentu harapan kami semua tidak pernah padam dalam memastikan usaha mencari keadilan terhadap arwah Muhammad Adib dan keluarganya diteruskan sehingga pesalah yang terlibat menerima hukuman setimpal.

“Kes yang melibatkan arwah Muhammad Adib ini tidak boleh dipandang remeh dan pesalah yang terlibat harus dicari dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *