SEGALA butiran terperinci mengenai kes harian baharu COVID-19 termasuk pecahan mengikut negeri hanya akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW mulai hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, itu sebagai satu daripada usaha peralihan ke fasa endemik.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi akan melaporkan kes harian tetapi semua data atau petunjuk penting akan dipaparkan di laman web itu pada waktu malam.
“Kita telah memberi tumpuan kepada jumlah kes harian untuk tempoh yang lama.
“Sebagai peralihan ke fasa endemik, kita masih akan melaporkan jumlah kes harian tetapi segala butiran akan dimuat naik bersama-msama semua data atau petunjuk penting lain di COVIDNOW pada waktu malam bermula hari ini,” ciap beliau di Twitter hari ini.
Sebanyak 8,743 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini, turun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam.
Kadar yang direkodkan hari ini juga merupakan hari ketujuh berturut-turut kes berada di bawah paras 10,000.
Jangkitan Covid-19 mula menurun ke paras empat angka pada hari Ahad lalu dengan 9,066 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pandemik itu telah pun mencecah 2.33 juta.
Bagaimanapun, buat pertama kali, Dr. Noor Hisham tidak berkongsi pecahan penularan kes mengikut negeri seperti hari-hari sebelumnya.
Sebaliknya, kata beliau, maklumat terperinci mengenai kes harian baharu COVID-19 hanya akan dimuat naik ke laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu COVIDNOW.
Kebiasaannya, laman web berkenaan hanya akan mengemas kini data jangkitan COVID-19 menjelang tengah malam.
Leave a Reply