Tiada arahan tutup pulau peranginan pada musim tengkujuh- Ariffin

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PEMAIN industri pelancongan di Terengganu khususnya melibatkan pulau-pulau peranginan boleh beroperasi disepanjang musim tengkujuh kerana tiada sebarang arahan atau larangan dikeluarkan mengenai perkara tersebut.

Malah, kerajaan negeri sebelum ini tidak pernah menghalang atau mengeluarkan arahan berhubung penutupan pulau peranginan di negeri ini pada musim tersebut.

Justeru kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman, keputusan itu terserah kepada pemain industri sendiri sama ada mahu tutup atau meneruskan operasi.

Malah katanya, penutupan operasi hotel, resort dan chalet di pulau sebelum ini adalah di atas pilihan pemain industri terbabit, bukan arahan kerajaan negeri.

“Sebenarnya, kerajaan negeri tidak pernah arah tutup pulau pada musim tengkujuh, tetapi kerana laut bergelora dan hujan lebat menyebabkan kedatangan pelancong berkurangan,” katanya ketika ditemui pada Program Pemasangan Peralatan Komunikasi Bencana Daerah Dungun di Balai raya Kampung Kepong, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Ariffin, ada ketika pemain industri akan melakukan konservasi terhadap batu karang dengan hadkan jumlah pengunjung.

Bagaimanapun Ariffin mengingatkan kepada semua pemain industri yang beroperasi di musim tengkujuh supaya mengutamakan keselamatan.

“Kalau tiada masalah boleh terus beroperasi, namun keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) perlu diutamakan.

“Jangan hanya fikirkan soal keuntungan semata-mata meskipun ada permintaan daripada pelancong, yang penting ialah jaga keselamatan,” jelas beliau.

Ariffin memberitahu, kebanyakan hotel, resort dan chalet di pulau peranginan di Terengganu terpaksa menghentikan operasi dan pakej tempahan bermula Oktober hingga Februari kerana menghadapi musim tengkujuh.

Katanya, penutupan itu adalah disebabkan keadaan cuaca tidak menentu dengan ombak besar dan laut bergelora.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *