Pegawai sumber manusia maut, pemandu bas kilang direman hari ini

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandu merempuh pokok dalam kemalangan membabitkan bas kilang dan sebuah lagi kereta di Jalan Kulim-Baling, Ladang Bukit Salarong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Muhamad Syafiq Sariff, 33, yng bekerja sebagai pegawai sumber manusia sebuah syarikat meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, mangsa yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu tersepit dalam kereta yang remuk teruk selepas merempuh pokok dan anggota bomba dipanggil untuk memberi bantuan mengeluarkan mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas kilang berusia 36 tahun yang datang dari Kulim Hi-Tech hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dipandu mangsa.

“Pelanggaran itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta dipandu seorang wanita berusia 24 tahun yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian tepi kereta mangsa.

“Akibatnya, kereta dipandu mangsa berpusing dan melanggar pokok di bahu jalan membuatkan dia tersepit dan meninggal dunia dalam kenderaannya yang remuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Sazalee berkata, pemandu bas yang berasal dari Pelabuhan Klang dan pemandu wanita yang bekerja sebagai eksekutif serta berasal dari Kilang Lama, di sini tidak mengalami kecederaan.

“Mayat dihantar ke Hospital Kulim dan ujian saringan Covid-19 akan dilakukan sebelum proses bedah siasat.

“Setakat ini, kita menahan pemandu bas kilang terbabit dan dia akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *