Oleh RIZQI ZABIDI
Kabinet perlu segera memberi ‘lampu hijau’ terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan tanah air.
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pelaksanaan RCI berhubung perkara itu pada masa ini cukup sesuai meskipun kerajaan dilihat mengambil tempoh yang amat lama sebelum ini untuk membuat keputusan.
Katanya, Kabinet tidak mempunyai pilihan selain meluluskan penubuhan RCI itu agar integriti institusi Peguam Negara terpelihara utuh ketika ramai pihak ternanti-nanti jawapan bagi segala tuduhan liar Tommy dalam bukunya, ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
“Pada pihak Pemuda UMNO, kami percaya proses mencari kebenaran menerusi RCI harus dibenarkan berlaku dengan telus dan jika ada segala kepincangan dalam sistem negara ini, ia harus diperbaiki.
“RCI terhadap Tommy sudah diperjuangkan Pemuda UMNO sejak beliau mengeluarkan buku itu lagi dengan kami tidak berhenti menyuarakan agar beliau diambil tindakan.
“Berpuluh laporan polis telah dibuat dan Majlis Tertinggi UMNO juga malah telah mendesak agar RCI terhadap Tommy dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk portfolionya semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa keperluan menubuhkan RCI berhubung pendedahan Tommy tersebut akan dibawa kepada jemaah menteri.
Beliau tidak boleh membuat keputusan sendiri berhubung perkara itu kerana tertakluk kepada Perlembagaan negara.
Sementara itu Syed Mohd Johan berkata, kerajaan dalam masa sama turut perlu meneliti semula keputusan tidak mengadakan RCI terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan tiga pegawai kanannya yang disyaki terlibat dalam kes membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM25 juta.
“Kami percaya RCI merupakan peluang terbaik untuk membersihkan agensi itu dan membaiki kelemahan serta prosedur, selain memulihkan kembali keyakinan awam.
“Walaupun polis telah menjalankan siasatan, namun tentunya ia berfokus kepada unsur jenayah sedangkan RCI boleh melihat sebarang kelemahan dan seterusnya mengemukakan cadangan bagi memperkukuhkan organisasi,” katanya.
Leave a Reply