PENGISYTIHARAN darurat di Melaka supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat ditangguhkan sehingga situasi kesihatan awam mengizinkan dilihat jalan terbaik dalam mendepani krisis politik di negeri itu ketika ini.
Sehubungan itu, veteran politik UMNO di Pulau Pinang, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Jelas beliau yang juga Presiden Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), situasi semasa akibat pandemik Covid-19 tidak dilihat tidak sesuai untuk PRN Melaka diadakan yang mana turut menghalang calon dan parti politik untuk berkempen.
Malah ujar beliau, orang ramai juga khuatir tentang soal keselamatan mereka untuk mengundi dan kerajaan tidak wajar mempertaruhkan nyawa rakyat demi kepentingan politik.
“Sememangnya pembubaran DUN Melaka dilihat sebagai langkah terbaik bagi mengatasi kemelut politik di negeri itu ekoran berlaku tindak melompat parti untuk menjatuhkan kerajaan negeri” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd. Yussof, pengisytiharan darurat bukan perkara baharu kerana pernah berlaku di Kelantan ketika krisis kepimpinan sesama pemimpin Pas iaitu antara Datuk Mohd. Asri dan Menteri Besar, Datuk Mohamed Nasir yang mengakibatkan berlakunya usul undi tidak percaya.
Ekoran itu katanya, Yang di-Pertuan Agong ketika itu yang juga Sultan Kelantan mengisytiharkan darurat di Kelantan pada 8 November 1977.
“Tempoh darurat selama lima bulan itu telah mengekalkan Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar tetapi dengan kuasa terhad kerana kuasa eksekutif tertinggi telah terletak pada Pengarah Pentadbiran Kerajaan mewakili Kerajaan Pusat yang dilantik oleh Perdana Menteri di bawah Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977,” katanya.
Dalam pada itu mengulas pembubaran DUN Melaka, Mohd. Yussof berkata, langkah itu dapat memberhentikan tindakan wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dengan menjadikan tindakam melompat sebagai senjata atau ugutan terhadap sesebuah kerajaan.
“Rakyat telah memberi peluang sekali sahaja kepada pembentukan kerajaan hasil tindakan melompat parti ini, tetapi jika mahu dijadikan berulang kali, maka eloklah DUN sesebuah negeri itu dibubarkan sahaja dan kuasa pemilihan dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya.
Tegasnya, budaya melompat parti adalah jelas tindakan tidak sihat di dalam politik dan Melaka telah menunjukkan bukti budaya itu dapat membunuh parti sendiri.
Leave a Reply