Oleh MOHD LAZIM ENDUT
PENDUDUK di Terengganu khususnya yang tinggal di kawasan ditenggelami banjir tidak perlu risau mengenai kekurangan bekalan dan harga barangan komoditi seperti sayur dan buah-buahan.
Ini kerana bekalan tersebut dijamin tidak akan terputus disamping ia tetap dijual pada harga berpatutan.
Begitulah jaminan diberikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu kepada penduduk di negeri ini sekiranya banjir melanda pada musim tengkujuh kali ini.
Menurut Pengarah FAMA Terengganu, Che Ghani Che Wan, sehingga ini pihaknya mempunyai pembekalan dan kelengkapan mencukupi bagi menyalurkan sayur dan buah-buahan
dari Cameron Highlands ke Terengganu.
Katanya, di Terenganu terdapat 12 pasar tani dan 140 ‘outlet’ peruncitan diusahakan oleh usahawan tempatan yang akan beroperasi seperti biasa walaupun pada musim tengkujuh.
“Pihak FAMA
akan terus bekerja sepenuh masa di sepanjang musim banjir untuk memastikan rakyat di negeri ini tidak terbeban akibat terjejas bekalan makanan menjelang musim banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Ke Pasar Tani Kuala Ping, Hulu Terengganu sempena Sambutan Ulang Tahun ke 56 FAMA, hari ini.
Menurut Che Ghani, walaupun pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan biasanya akan berkurangan pada musim banjir, namun beliau memberi jaminan bahawa harga yang ditetàpkan adalah berpatutan.
Leave a Reply