Ada lagi wakil rakyat Warisan akan tinggalkan parti, kata Ketua Bersatu Beaufort

SELEPAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr.Yusof Yacob mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah Sabah, beberapa lagi wakil rakyat dan ahli parti dijangka melakukan tindakan yang sama dan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perkara itu disahkan Ketua Bersatu Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih.

Datuk Isnin Aliasnih

“Sebenarnya ramai yang sudah berhubung dengan kita tapi mereka masih lagi ragu-ragu. Jadi saya menyeru kepada mereka, mari kita sama-sama kerajaan, jika ada empat tahun ini, kita bangunkan kawasan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media Dr Yusof Yacob di Kota Kinabalu , hari ini, lapor Astro Awani.

Mengulas mengenai tindakan Dr. Yusof, Isnin berkata, ia merupakan tindakan tepat dalam usaha untuk bersama-sama dengan kerajaan membangunkan dan membantu kebajikan rakyat di Sabah.

Isnin yang juga ADUN Klias berkata, sudah sampai masanya untuk wakil rakyat pembangkang membuang ego dalam politik demi kepentingan rakyat.

“Rakyat sekarang ini dalam kesusahan terutama sekali dalam kita menghadapi pandemik, terutama rakyat di kawasan luar bandar, seperti Sipitang dan Sindumin. Kawasan saya Klias pun luar bandar.

“Rakyat memerlukan bantuan dan semestinya mereka minta pada wakil rakyat. Jadi kalau wakil rakyat tidak boleh bantu rakyat, buat apa wakil rakyat itu,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *