TIADA prosedur operasi standard (SOP) tambahan bagi aktiviti rentas negeri sekiranya ia dibenarkan nanti, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, beliau berkata SOP sedia ada masih digunakan, dengan Op Patuh terus dijalankan pihak berkuasa dan tiada sekatan jalan raya bagi memeriksa sama ada orang ramai menjalani ujian kendiri ketika merentas negeri.
“Takkan kita nak ada sekatan jalan raya dan kita check (periksa) setiap orang yang keluar dan kalau dia tak vaksinasi kita suruh buat test (ujian) di situ? Saya rasa rakyat lebih marah kalau berlaku kesesakan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata ,situasi itu tidak sama dengan Gelembung Pelancongan Langkawi memandangkan jumlah orang terlibat tidak seramai berbanding ketika aktiviti rentas negeri serta tidak sebanyak laluan keluar dan masuk di seluruh negara.
Sementara itu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menurunkan lagi harga kit ujian kendiri COVID-19 yang akan diumumkan kelak.
Beliau menjelaskan faktor masa peralihan perlu diambil kira bagi berlaku adil kepada pembekal yang sudah membuat pembelian awal kit itu.
“Kita akan ambil kira sedikit masa peralihan supaya pembekal yang sudah beli, dapat menjual supply (bekalan) yang ada.
Ada (pembekal) yang beri pandangan tak cukup masa untuk clearkan (habiskan) stok masa turunkan harga dulu. Kita bincang dengan KPDNHEP untuk harga siling ini dan biar ia adil kepada pengguna dan pembekal,” katanya.
Harga siling kit ujian kendiri COVID-19 ditetapkan pada harga RM16 secara borong dan RM19.90 bagi runcit.
Mengenai individu yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin, Khairy berkata satu ciri baharu di aplikasi MySejahtera akan diperkenalkan bagi orang ramai membuat tempahan seterusnya memperoleh janji temu vaksin.
Sementara itu, beliau berkata dos penggalak tidak akan memberi kesan kepada status penerima lengkap dos vaksin COVID-19.
Katanya pengambilan dos penggalak tidak diwajibkan namun, amat disarankan bagi individu yang telah menerima dos lengkap selepas tempoh enam bulan. – BERNAMA
Leave a Reply