Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEBANYAK 600 daripada 800 permohonan lesen Sampan Khas telah diluluskan kepada nelayan di Terengganu sepanjang tahun ini.
Malah, kelulusan tersebut disifatkan sebagai jumlah terbanyak setakat ini melalui komitmen dan usaha kerajaan negeri dalam memperjuangkan nasib golongan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, isu mengenai lesen sampan khas nelayan telah diperkatakan sejak sekian lama.
Katanya, kebanyakan golongan nelayan terbabit telah lama turun ke laut untuk mencari rezeki secara sepenuh masa, tetapi tidak mempunyai lesen sampan.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan mereka dinafikan banyak hak termasuk gagal mendapat minyak subsidi, elaun sara diri nelayan, bantuan bencana dan sebagainya.
“Sebab itulah, kita terus perjuangkan hak tersebut di peringkat kementerian bersama jawatankuasa khas dianggotai pelbagai wakil jabatan dan persatuan nelayan.
“Kita telah membuat pemutihan ke atas 800 nelayan sampan yang belum mendapat lesen dengan mengemukakan permohonan ke ibu pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, hari ini.
Turut hadir Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh.
Menurut Dr Azman, baki 200 lagi permohonan yang belum lulus akan diteliti melibatkan beberapa aspek teknikal.
Leave a Reply