Nenek divaksin

Nenek 105 tahun tekad ambil vaksin demi perkahwinan cucu

SEORANG wanita warga emas yang berusia 105 tahun terbuka hati untuk menerima suntikan vaksin selepas menerima penerangan kebaikan vaksinasi selain mahu hadir dalam majlis perkahwinan cucunya.

Goh Bak Nai, yang tinggal di Taman Sin Far, Ipoh dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pakar Komuniti Ipoh (PCSH) dengan ditemani ahli keluarga untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac.

Menurutnya cucunya, Shim Wen Jie, 31, pada awal neneknya tidak mengetahui tentang vaksin namun selepas diberi penerangan oleh ahli keluarga, neneknya bersetuju untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Kata Wen Jie, selain kelonggaran yang diumumkan kerajaan kepada individu lengkap divaksin, majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini menjadi satu sebab nenek kepada lebih 20 cucu itu mengambil keputusan demikian.

“Sebelum pandemik Covid-19, nenek gemar keluar untuk meminum teh di kedai namun aktiviti itu tidak dapat dilakukan kerana Covid-19 sejak lebih setahun.

“Kami sekeluarga memberitahunya bahawa individu yang lengkap divaksin mendapat beberapa kelonggaran oleh kerajaan seperti makan di kedai. Justeru, dia bersetuju untuk divaksin.

“Selain itu, saya juga merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan selepas sambutan Krismas penghujung tahun ini yang mana majlis berkenaan telah ditangguh sejak tahun lalu akibat Covid-19. Nenek beritahu bahawa dia juga mahu hadir majlis itu nanti.

“Akan tetapi, berdasarkan situasi semasa, saya melihat kemungkinan majlis itu akan ditangguh lagi. Walau bagaimanapun saya berpandangan lebih baik nenek tetap menerima vaksin terlebih dahulu. Saya gembira akhirnya nenek menerima vaksin,” katanya.

Dia ditemui ketika menemani neneknya untuk mendapatkan suntikan vaksin di hospital swasta berkenaan, hari ini.

Bak Nai dipercayai tenang dan gembira sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, Wen Jie yang tinggal dan menjaga neneknya sejak beberapa tahun mengakui gembira kerana nenek kesayangan akhirnya menjadi individu terakhir dalam kalangan ahli keluargnya yang menerima vaksin.

Wen Jie memberitahu walaupun mencecah usia 105 tahun namun neneknya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik kecuali tekanan darah tinggi dan kolesterol.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *