SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan keahlian UMNO Datuk Seri Idris Haron tergugur secara automatik berkuat kuasa serta merta.
Beliau berkata, keahlian bekas Ketua Menteri Melaka itu gugur dengan sendirinya mengikut Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
“Ini adalah kerana tindakan Datuk Seri Idris pada 4 Oktober lalu membuktikan beliau tidak lagi menyokong kepimpinan dan kerajaan negeri Melaka yang ditunjangi parti UMNO sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang dan Nor Azman (Pantai Kundor) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bersama dua lagi Adun Bebas dan Bersatu pada Isnin lalu.
Tindakan empat ADUN berkenaan mengakibatkan pembubaran DUN Melaka yang diumumkan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Leave a Reply