SEBUAH pesawat penumpang hari ini berjaya melengkapkan penerbangan sejauh 100 km dari Jakarta ke Bandung dengan menggunakan bahan bakar yang dicampur dengan minyak sawit.
Menurut Menteri Kanan Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, penerbangan itu merupakan ujian pertama yang dilakukan oleh rupublik berkenaan bagi menguji keberkesanan bahan biodiesel itu untuk kegunaan pesawat komersial.
Jelas beliau, penerbangan itu dilakukan ketika republik berkenaan merancang mengkomersialkan minyak sawit sebagai bahan bakar pesawat, dalam usaha kreatifnya bagi memperluaskan kegunaan minyak masak itu.
“Indonesia, sebagai pengeluar terbesar, tentu saja perlu melakukan inovasi penggunaan minyak sawit, termasuk dalam pengembangan biodiesel, bahan bakar jet dan juga melanjutkan program D100,” kata Airlangga pada sidang maya, merujuk pada diesel yang dibuat sepenuhnya daripada minyak sawit yang dikembangkan oleh syarikat minyak negara Pertamina.
Indonesia ketika ini memiliki program biodiesel wajib dengan kandungan minyak sawit 30 peratus yang dikenali sebagai B30.
Pemerintah Indonesia berusaha memperluas penggunaan minyak sayuran untuk tenaga dan mengurangkan import bahan bakar.
Bahan bakar jet yang digunakan selama penerbangan ujian itu hanya mengandungi 2.4 peratus kandungan sawit, tetapi dalam peraturan 2015, Indonesia telah mewajibkan jumlah itu dinaikkan kepada lima peratus. – Agensi
Leave a Reply