love Scam

Henti spekulasi kes kematian pemaju hartanah terkenal Pulau Pinang

POLIS Pulau Pinang meminta orang ramai menghentikan spekulasi berhubung kematian pemaju hartanah terkenal di negeri itu yang ditemukan maut dipercayai akibat terjatuh di sebuah kondomonium di Jalan Kelawai, Georgetown semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan awal polis menunjukkan kematian mangsa tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Menurut beliau, siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kolam renang, pintu masuk dan lif di kondominium itu juga mendapati tiada pergerakan individu yang mencurigakan.

Jelasnya, laporan bedah siasat pula mendapati mangsa mati disebabkan kecederaan yang pelbagai akibat jatuh dari tempat yang tinggi.

“Sementara itu ujian darah juga mendapati mangsa bebas daripada unsur alkohol atau dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Media semalam melaporkan seorang  pemaju hartanah terkenal di Pulau Pinang ditemukan maut di dalam kolam renang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 kondominum mewah miliknya di Jalan Kelawai.

Mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 5.20 pagi oleh pengawal keselamatan kondominium tersebut yang kemudiannya memaklumkan kepada polis.

Difahamkan, mangsa sepatutnya menjadi saksi utama membabitkan kontroversi projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini namun tidak sempat memberi keterangan.

Dalam pada itu Fisol berkata, polis tidak dapat mendedahkan identiti sebenar mangsa kerana bagi menghormati perasaan ahli keluarganya.

Ujarnya, siasatan awal polis jugamendapati tiada sebarang kelakuan mencurigakan atau luar biasa oleh mangsa seperti dimaklumkan isteri dan dua anaknya.

“Bagaimanapun, isteri mangsa ada memaklumkan mangsa sebelum ini memberitahu dia dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Isterinya juga memaklumkan mangsa tidak mempunyai masalah tekanan dan ketika kejadian isteri mangsa dan dua anaknya sedang tidur di rumah mereka,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *