Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG ibu tunggal bersyukur kerana dia dan lima anaknya terselamat selepas didapati positif Covid-19 walaupun kehilangan suaminya akibat jangkitan itu pada Ogos lalu.
Menurut Nor Fairus Johar, 41, dia kehilangan suami, Selamat Omar, akibat pandemik itu selepas disahkan positif pada 3 Ogos lalu sebelum dimasukkan ke hospital pada 7 Ogos dan meninggal dunia lima hari kemudian.
Selepas arwah suaminya dimasukkan ke hospital, dia dan lima anaknya berusia tiga hingga 16 tahun turut m?mbuat ujian calitan dan mendapat keputusan positif Covid-19.
“Anak-anak saya positif Covid-19 tetapi pada tahap rendah manakala saya pula berada di tahap empat. Selama 20 hari saya ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
“Doktor memberitahu 20 peratus paru-paru sudah rosak. Kini keadaan saya sudah tak sama seperti dulu, jangan kata nak berjalan, masa bercakap lama-lama pun saya akan mengah.
“Bila saya batuk sahaja, terus akan alami sesak nafas. Dengan keadaan sekarang ini, saya rasa sudah tak larat hendak meneruskan pekerjaan yang diusahakan suami,” katanya ketika ditemui di Flat Serantau Baru, Johor Bahru.
Dia sebelum itu menerima bayaran Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keilatan di bawah Faedah Penakat yang disampaikan Exco Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.
Nor Fairus tidak tahu layak menerima bantuan serta faedah Perkeso itu kerana suaminya tidak lagi membayar caruman tersebut setelah bekerja sendiri sebagai pengusaha van sekolah.
Jelasnya, kali terakhir suaminya membuat mencarum Perkeso pada 2015 ketika masih bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di daerah ini.
“Ketika pandemik Covid-19 melanda, pendapatan kami terjejas dan arwah suami mencari alternatif lain bagi menambah pendapatan seperti kerja membuat rumah, mengecat dan sebagainya.
“Alhamdulillah, saya merasa sangat bersyukur menerima pencen Penakat ini. Saya sendiri tak tahu layak menerima bantuan ini yang amat membantu buat kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, selain menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000, ibu tunggal itu juga sudah mula menerima Faedah Pencen Penakat bagi arwah dengan kadar pencen bulanan RM1,635.48.
Leave a Reply