Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PERPECAHAN dan pertembungan sesama sendiri antara Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya merugikan orang Melayu.
Ketua Penerangan Wanita Perikatan (PN) Johor, Normala Sudirman berkata, keadaan itu juga akan memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang dan berkuasa semula selepas PRU-15.
“Semua ini disebabkan undi Melayu yang berpecah dan tiada parti berteraskan Melayu atau Islam yang akan menjadi dominan selepas PRU-15.
“Di Johor, saya berharap supaya hubungan antara Pas, UMNO dan Bersatu terus diperkuatkan di semua peringkat demi menghadapi PRU-15.
“Jika semua yang bertanding kalah dan tidak dapat berkuasa, ketika itu menangis air mata darah pun tidak berguna lagi. Menyesal kemudian tidak berguna lagi kerana nasi telah menjadi bubur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof mencadangkan PN boleh melakukan perbincangan dengan UMNO untuk bergabung dalam PRU-15.
Cadangan itu katanya, bagi memastikan kepimpinan Melayu dapat terus dikekalkan sekiranya PN memang PRU15, namun jika UMNO enggan bergabung dengan PN dalam PRU-15, Bersatu sedia untuk bertanding tiga atau empat penjuru melawan parti tersebut di mana-mana kerusi.
Mengulas lanjut, Normala berkata, semua pimpinan dari Pas, UMNO dan Bersatu perlu bersatu hati mengenepikan kepentingan peribadi dan kerakusan kuasa demi survival umah dan politik Melayu.
Beliau berharap semua pihak melupakan seketika soal sejarah lama yang mungkin pahit untuk dikenang dan belajar memaafkan demi kelangsungan generasi pelapis pada masa hadapan.
“Tiada gunanya kita berpecah kerana akan hilang kekuatan kita dan musuh politik pasti akan gembira melihat kehancuran sebuah ikatan tiga parti teras umat Islam yang selama ini dibina setelah kerajaan PH tumbang.
“Pas sebagai pendamai dan tali pengikat untuk mempertautkan tiga parti terbesar umat Islam itu dan sedia berkorban perasaan demi melihat kesatuan ini dapat diperkuatkan demi citra wajah Malaysia yang lebih terarah hala tujunya dalam persada politik Malaysia,” katanya.
Normala berkata, apa yang perlu dilakukan ialah perkasakan Muafakat Nasional (MN) dan pertahankan PN sekali gus menjadi penyubur semangat untuk melihat masa depan yang lebih cerah.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lupakan segala kepahitan lalu dan melangkahlah demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci murni.
Bagi UMNO, ingatlah pada saat kejatuhan lalu yang cukup melukakan.
“Jangan biarkan nasi menjadi bubur. Bertindaklah segera demi sebuah perpaduan dan penyatuan ummah dan menyelamatkan negara dari sebuah kehancuran kuasa yang pasti akan mengundang penyesalan,” katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Johor.
Leave a Reply