MENTERI Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu sidang Dewan Rakyat, hari ini, jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini adalah sekitar 200,000.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, jumlah tersebut adalah yang terbesar di Asia Tenggara dan tiada pengusiran dilakukan.
Jelasnya, pengusiran mana-mana populasi secara paksa adalah tersenarai sebagai satu jenayah kemanusiaan dalam undang-undang antarabangsa, khususnya Statut Rom berkenaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman ke atas Genosid 1948.
Justeru, Saifuddin berkata, Malaysia dan negara-negara sependirian perlu terus berusaha ke arah merealisasikan penghentian pengusiran tersebut, walaupun penghentian pengusiran terletak sepenuhnya di bawah kuasa pemerintah di Myanmar.
“Dalam hal ini, Malaysia mengambil langkah untuk terus mengetengahkan isu pelarian Rohingya dalam perbincangan peringkat-peringkat serantau mahupun antarabangsa.
“Di peringkat ASEAN misalnya, Malaysia adalah negara yang paling konsisten dan lantang mengutarakan tentang isu pelarian Rohingya.
“Malaysia juga menyokong kuat usaha-usaha ASEAN dalam memudahcara repatriasi pelarian Rohingya kembali ke Myanmar,” pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) meminta Menteri Luar Negeri menyatakan kedudukan kerajaan mengenai rancangan untuk menghentikan pengusiran pelarian Rohingya; dan tindakan politik dan kemanusiaan sehala yang kerajaan sedia ambil ke atas rampasan kuasa di Myanmar, di luar daripada payung ASEAN.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Malaysia mengambil pendekatan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN dan tidak bergerak secara sendiri.
Ini kerana katanya, ASEAN mempunyai pengaruh lebih besar bagi mengubah haluan Myanmar untuk kembali ke landasan demokrasi seperti dimandatkan rakyatnya menerusi pilihan raya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata satu pertemuan tergempar diadakan di peringkat pemimpin ASEAN bagi membincangkan isu berkenaan bersama wakil tentera Myanmar pada 24 April lalu.
Hasilnya pertemuan itu, ASEAN kini sedang melaksanakan Konsensus Lima Perkara seperti dipersetujui, bermula dengan bantuan kemanusiaan untuk Myanmar.
Saifuddin turut memaklumkan, sukar untuk mengundang Ketua Tentera yang sedang berkuasa di Naypyidaw, Myanmar bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 28 Oktober ini selepas dimaklumkan mereka tidak memberikan kerjasama mengenai Konsensus Lima Perkara.
Leave a Reply