160 pemilik RPMM Pulau Redang akan terima kunci November depan

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SETELAH sekian lama menanti, akhirnya penduduk Pulau Redang menerima perkhabaran gembira, apabila
Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di pulau itu dijangka diserahkan kepada semua pemiliknya pada bulan November depan.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Ahmad Shah Muhamed, projek kediaman rakyat melibatkan perbelanjaan RM28.5 juta itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini.

Malah katanya, berdasarkan lawatannya ke lokasi itu baru-baru ini mendapati projek yang dimulakan sejak 2012 itu telah siap sebanyak 99.90 peratus dan kini hanya tinggal 0.01 peratus sahaja bagi memenuhi syarat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

“Jika tiada aral melintang, insya Allah semuanya akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

“Terdapat empat blok bangunan yang dibina di mana setiap blok mempunyai 40 unit dengan keseluruhannya adalah sebanyak 160 unit,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Ahmad Shah, projek RPMM Pulau Redang merupakan antara yang dinanti-nantikan penduduk Pulau peranginan tersebut dan kerajaan negeri menjangkakan penyerahan kunci kepada semua pemilik terbabit akan diadakan pada awal November depan.

Malah katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian mengenai perkara itu kerana kediaman merupakan satu keperluan mendesak kepada rakyat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *