PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kurang pengalaman dan ilmu untuk memimpin negara berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah dua kali menduduki jawatan tertinggi negara itu.
Pemimpin negara yang pernah memegang jawatan nombor satu negara paling lama itu berkata, Muhyiddin lebih berpengalaman berbanding Ismail kerana pernah menjawat jawatan di pelbagai kementerian, termasuk timbalan perdana menteri sebelum dipecat pada 2015.
“Muhyiddin mungkin ada pengalaman, tapi Ismail Sabri baru kali ini jadi perdana menteri.
“Dia biasa jadi menteri jadi ‘experience’ kurang, pengalaman kurang dan ilmu juga kuranglah dibandingkan dengan orang yang sudah biasa jadi Perdana Menteri, yang dah lengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahunan, ‘performance’ mereka lebih baik,” kata ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini.
Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 21 Ogos, selepas Muhyiddin hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri kelapan itu terpaksa berundur selepas kumpulan kluster mahkamah yang diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik sokongan terhadapnya.
Sebelum menjadi perdana menteri, Ismail adalah Timbalan Perdana Menteri selama kurang dua bulan, dan menteri kanan kluster keselamatan merangkap menteri pertahanan selama setahun lima bulan dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin.
Sementara Muhyiddin sebelum menjadi Perdana Menteri pernah bertugas di pelbagai kementerian termasuk kementerian dalam negeri, kementerian pendidikan, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri, kementerian pertanian dan banyak lagi.
Muhyiddin juga pernah menjadi menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995.
Mahathir dan Muhyiddin bersama-sama menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2016 sebagai penentangan terhadap UMNO yang dipimpin oleh Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.
Bersatu bekerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Leave a Reply