SELEPAS empat hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pembantu tekong bot yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Satang, Kuching, Sarawak, Sabtu lalu, masih menemui jalan buntu.
Setakat pagi ini, pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak, Laksamana Pertama, Zin Azman Md. Yunus berkata, operasi hari ketiga semalam mendapat bantuan aset udara daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) polis.
Mereka melakukan pencarian melalui udara di sekitar perairan Pulau Satang.
“Keadaan cuaca sedikit berangin dengan kelajuan antara 20 dan 30 kilometer sejam, dengan laut berombak setinggi 1 hingga 1.5 meter,” katanya, menurut laporan Bernama.
Operasi SAR terbabit turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
Menurut Zin, keluasan pencarian semalam merangkumi 795.31 batu nautika serta beberapa bot pancing komuniti maritim sekitar turut melakukan pencarian dengan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat adalah seramai 80 orang.
Dalam kejadian Sabtu lalu, sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang.
Sembilan daripada mereka sudah ditemui selepas diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar sekitar 1 pagi (Ahad).
Leave a Reply