KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW memaklumkan, seramai 20,603,249 individu atau 88 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.
KKM memberitahu, angka tersebut setakat semalam dan perkembangan terbaharu itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa kini hanya tinggal kira-kira 2.2 peratus.
“Sebanyak 94.4 peratus atau 22,098,764 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Setakat semalam juga, sebanyak 114,124 atau 3.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.
“Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 221,812 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 126,433 dos pertama dan 95,379 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,573, 891 dos,” demikian menurut data tersebut.
PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.
Sementara itu, dua kes kematian harian akibat Covid-19 dilaporkan pada Isnin dengan kedua-duanya membabitkan kematian di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,759.
Leave a Reply