Pusat jagaan terlibat kes dera kanak-kanak autisme akan disita, dikompaun – Rina

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil tindakan penguatkuasaan bersesuaian mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) terhadap pusat jagaan yang disyaki terbabit dalam kes mendera seorang kanak-kanak autisme, Jumaat lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata antara tindakan yang boleh diambil adalah menyita premis berkenaan mengikut Seksyen 16A(1) Akta 506.

Selain itu, katanya, pengendali juga boleh didakwa dan dikompaun seperti termaktub dalam Seksyen 21 dan 21A Akta 506.

“Tindakan intervensi daripada sudut psikososial dan kaunseling akan turut diberikan oleh kaunselor berdaftar kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang terbabit demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan emosi kanak-kanak serta keluarga tidak terjejas dan terpelihara.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan sehingga menjejaskan kehidupan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KPWKM memandang serius insiden kanak-kanak autisme yang tular dalam media sosial akibat dikasari dan disyaki didera pengasuh di pusat intervensi autisme di Bandar Baru Ampang, Selangor.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak orang kelainan upaya (OKU), saya menzahirkan rasa terkilan dan dukacita dengan perbuatan pengendali pusat intervensi berkenaan yang seharusnya lebih peka dan sensitif dengan keperluan anak-anak berkeperluan khas.

“Saya berkehendakkan perkara ini disiasat segera dengan teliti dan hukuman yang tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah supaya perkara sebegini tidak berulang lagi.

“Di samping (supaya) menjadi peringatan kepada pusat jagaan dan pusat intervensi kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Tegasnya, KPWKM akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Pada masa sama, beliau juga menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak disyaki terbabit dalam kegiatan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak.

“Saya juga ingin menasihatkan ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan anak-anak supaya mendapatkan perkhidmatan yang berdaftar dengan JKM.

“Perkara ini amat penting supaya kanak-kanak mendapat pengasuhan dan penjagaan yang berkualiti di pusat jagaan berdaftar dan keselamatan kanak-kanak lebih terjamin, di samping memastikan anak-anak mendapat penjagaan dari pengasuh yang terlatih,” katanya. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *