Oleh MOHD LAZIM ENDUT
RAKYAT Terengganu yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 boleh mendapatkan beras secara percuma menerusi mesin ATM beras yang ditempatkan di Masjid Pekan Ajil, Hulu Terengganu.
Ini kerana masjid berkenaan merupakan lokasi pertama di Terengganu yang menyediakan khidmat mesin ATM beras secara percuma untuk golongan terbabit selepas Kuala Lumpur.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, sehingga akhir tahun ini, pihaknya akan menempatkan sebanyak lima mesin ATM beras di beberapa lokasi terpilih di mana Hulu Terengganu menjadi lokasi kedua penggunaan mesin berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif peduli rakyat itu antara kesinambungan bantuan makanan asas menerusi program Gerobok Prihatin melibatkan 93 buah masjid yang dilaksanakan Pejabat Parlimen Hulu Terengganu sejak Mei lalu.
“Mesin ATM Beras dengan kapasiti 500 kilogram bagi setiap penggunaan itu dapat membantu mengurangkan bebanan penduduk kurang berkemampuan dan golongan memerlukan untuk mendapatkan bekalan makanan asas itu.
“Sesiapa sahaja yang memerlukan boleh datang pada bila-bila masa dengan mengikut arahan sepertimana dipaparkan bagi mendapatkan beras sehingga lima kilogram,” katanya selepas melancarkan Mesin ATM Beras di Masjid Pekan Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.
Menurut Rosol, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Sekretariat Food Bank Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan rakan strategik utama iaitu Kumpulan Legasi Z dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Beliau berkata, bagi menampung keperluan penduduk yang memerlukan bantuan makanan menerusi program itu, sebanyak satu tan beras diperuntukkan setiap bulan.
“Mesin ATM beras ini akan diselia oleh pihak pengurusan kariah masjid dan mempunyai dua fungsi iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti ditetapkan disamping tabung khas untuk orang ramai menderma bagi mengisi bekalan beras di dalam mesin,” jelas beliau.
Leave a Reply