PH Melaka adly zahari

Kerajaan tumbang, PH Plus bakal kuasai Melaka?

SERAMAI 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka termasuk dari Pakatan Harapan (PH) yang tidak menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, langkah itu adalah susulan penarikan sokongan empat ADUN yang sebelum ini bersama kerajaan terhadap Sulaiman.

Menurut beliau, kumpulan itu terdiri daripada empat ADUN terbabit serta 11 lagi wakil rakyat PH.

“Memandangkan kita masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang menjejaskan kesihatan dan ekonomi rakyat, keutamaan PH Negeri Melaka pada masa ini adalah untuk memastikan kestabilan politik negeri ini bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan itu, sebelas ADUN Pakatan Harapan bersama empat ADUN Bebas ini berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka bagi membincangkan tentang usaha yang boleh diambil bagi memastikan kestabilan politik negeri dan kesinambungan pentadbiran kerajaan akan dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada pertemuan dengan Mohd Ali itu adalah berkaitan cadangan pembentukan kerajaan negeri Melaka yang baharu.

Adly juga tidak menyatakan bila pertemuan itu akan berlangsung.

Kerajaan negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat ADUN menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Idris menjelaskan, kesemua ADUN terbabit telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

Adly menambah, selaras dengan peruntukan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka yang berbunyi “Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Undangan Negeri maka Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat, melainkan jika atas permintaannya Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri”.

“Kestabilan politik merupakan perkara penting yang menjadi asas utama dalam kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan usaha ke arah pemulihan ekonomi negara.

“Tanpa kestabilan politik adalah sukar untuk memastikan usaha pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, khususnya dalam era ke arah endemik COVID-19,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *