Warisan belum terima surat keluar parti Yusof Yacob – Loretto Padua

PARTI Warisan Sabah (Warisan) belum menerima surat rasmi keluar parti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua berkata, setakat ini pihaknya juga tidak menerima surat peletakan jawatan Yusof selaku Ketua Penerangan Warisan dan hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui media.

“Setakat ini, Warisan tidak menerima surat peletakkan jawatan Yusof baik di peringkat parti mahupun keluar dari Warisan.

“Selalunya, kalau sesiapa yang mahu meletak jawatan atau meninggal parti, mereka akan kemukakan surat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Semalam, media melaporkan Yusof difahamkan keluar meninggalkan Warisan sambil memetik pegawai medianya, Mazlan Sanoh.

Mazlan berkata, Yusof mengambil keputusan itu dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan selain akan mengumumkan secara rasmi minggu depan.

Sementara itu, Astro AWANI cuba menghubungi Yusof melalui mesej di aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon gagal.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Azhar Matussin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Warisan menolak sebarang spekulasi berkaitan tindakan Dr. Yusof yang dilapor membuat keputusan keluar parti itu malam tadi.

Beliau yakin Dr. Yusof tidak membuat tindakan itu memandangkan mereka baru saja bersama-sama berbincang mengenai hala tuju parti beberapa hari lalu.

“Baru beberapa hari lalu saya bersama beberapa rakan lain duduk berbincang dengan Dr. Yusof berkaitan hala tuju Warisan pada masa depan.

“Dalam pertemuan itu tidak timbul soal beliau (Dr. Yusof) keluar meninggalkan parti seperti dilaporkan portal dalam talian sejak malam tadi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *