Parti Liar premis hiburan

Tergamam diserbu polis ketika leka berhibur

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KESERONOKAN 14 lelaki dan wanita berhibur di sebuah kedai makan dan minuman di Jalan Molek, Johor Jaya, Johor Bahru terbantut apabila diserbu dan ditahan polis malam tadi.

Mereka sama sekali tidak menyangka dan tergamam apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada pukul 9.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, semua individu berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan kerana terlibat dalam aktiviti hiburan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Mereka dikesan melanggar SOP Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Tangkapan terdiri daripada 11 lelaki dan dan tiga wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing.

“Penjaga premis dikenakan kompaun RM25,000 atas kesalahan melakukan aktiviti hiburan dan dibebaskan dengan ikat jamin polis manakala 13 warga tempatan itu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kompaun dikenakan terhadap mereka kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial dalam premis itu sementara warga asing tersebut direman selama 14 hari atas kesalahan tinggal lebih masa.

Katanya, menerusi serbuan tersebut turut dirampas satu unit digital amplifier digital; satu unit ‘mixing console’; dua unit mikrofon; satu unit pembesar suara dan tiga keping resit perniagaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021yang sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara setahun.

Selain itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *