Takwim sesi persekolahan 2022 tetap bermula Mac-Radzi

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SESI penggal persekolahan 2022 masih ditetapkan bermula pada Mac tahun depan, tegas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Malah menurut Radzi, ketetapan dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melanjutkan sesi persekolahan 2021 sehingga Januari dan Februari tahun depan adalah berdasarkan perbincangan dan penelitian secara mendalam.

Katanya, perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak termasuk guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa negeri, pengetua dan juga guru besar.

Selain itu katanya, perbincangan turut melibatkan pakar dan persatuan perguruan bagi memastikan ketetapan dibuat mengambil kira semua aspek khususnya dalam memastikan murid-murid telah bersedia sebelum mereka naik ke kelas berikutnya.

“Insya Allah, kita akan teruskan ketetapan ini kerana kita yakin ia dapat memberi ruang yang cukup kepada anak-anak untuk diasah di samping memastikan mereka juga mampu menguasai tahap minimum yang diperlukan sebelum naik ke kelas berikutnya,” ujarnya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas meninjau sesi persekolahan bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun, hari ini.

Sebelum itu, Radzi turut melakukan tinjauan di beberapa sekolah di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *