SESI persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah hari ini, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan Covid-19.
Di Terengganu yang berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Langkawi di bawah gelembung pelancongan dengan mengikut ketetapan Fasa 4 PPN, pembukaan sekolah di kedua-dua lokasi itu melibatkan masing-masing 35,438 dan 2,159 pelajar dan murid.
Ini termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), murid berkeperluan khas (MBK) atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid prasekolah.
Sementara di Kelantan yang berada di Fasa 2 PPN, hanya calon STPM semester dua, murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid PPKI yang akan hadir ke sekolah.
Esok pula, sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula di Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan dengan kehadiran pelajar mengikut Fasa PPN negeri masing-masing.
Dalam perkembangan lain, pelajar di kelas dan tingkatan tertentu di Johor hanya dibenarkan kembali ke sekolah secara bersemuka pada 10 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, tarikh tersebut berdasarkan tempoh selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa, di mana Johor beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 24 September lalu.
Menurutnya, timbul kekeliruan apabila terdapat sesetengah ibu bapa murid dan pelajar di negeri ini menghubungi sekolah masing-masing bagi mendapatkan penjelasan.
Leave a Reply