Oleh RIZQI ZABIDI
Sebarang keputusan mengenai kedudukan UMNO pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), akan ditentukan secara konsensus dari dalam parti itu sendiri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, seperti kebiasaan, semua perkara berkaitan persediaan menghadapi pilihan raya, akan dibawa berbincang dalam kalangan kepimpinan parti.
Justeru katanya, keputusan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional Perikatan Nasional (PN) yang akan mula membincangkan pembahagian kerusi untuk PRU-15 tanpa melibatkan UMNO, bakal turut dibincangkan dalam kalangan pemimpin UMNO agar satu keputusan dapat diangkat di peringkat parti.
“Kenyataan tersebut dikeluarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN dan Presdien Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Jadi saya ingat, biarlah ada keputusan di peringkat parti (UMNO).
“Perkara itu kita bawa kepada parti dan bincangkan. Sebab dalam nak hadapi pilihan raya ini, biarlah ada keputusan secara konsensus dalam UMNO itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan ke premis usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) iaitu Perniagaan Mazlan dan Hashimah Sdn. Bhd. di Jalan Lencong Barat, Alor Setar, hari ini.
Khamis lalu Muhyiddin selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN memaklumkan, rundingan berkaitan perkara itu akan dimulakan pada minggu depan melibatkan Bersatu, Pas, Parti Gerakan Nasional (Gerakan) serta parti komponen lain.
Menurut Muhyiddin, tiada hala tuju jelas melibatkan kerjasama UMNO bersama PN pada PRU akan datang dan sekiranya mereka perlu menunggu parti lain membuat keputusan serta pendirian, ia akan mengganggu persiapan gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya yang dijangkakan akan berlaku pada tahun depan.
Mahdzir menambah, setakat ini tiada perbincangan atau pertemuan diadakan UMNO bersama Bersatu bagi membincangkan perkara itu.
“Saya pun tak tahu nak cakap apa sebab UMNO pun ada pendirian sendiri. Kalau lawan bercakap ini, takut nanti jadi makin tegang.
“UMNO pun ada pendirian dan perkara itu telah dinyatakan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini. Jadi biarlah keadaan begitu dulu, nanti adalah kaedah dan caranya untuk semua ini,” katanya.
Ditanya sama ada UMNO akan terus menerima penyertaan kembali bekas ahli parti itu dari Bersatu, seperti dilakukan bekas Ketua Bersatu Putrajaya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir kelmarin, Mahdzir berkata perkara itu lebih membabitkan isu setempat.
“Orang di situ saja tahu apa yang berlaku di sana sedangkan kita tak tahu. Macam saya sendiri, kalau di Padang Terap saya tahulah siapa di sebelah sana dan siapa di sebelah sini.
“Jadi apa yang berlaku di Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tahulah apa yang berlaku kerana itu tempat beliau. Jadi Ku Nan tahulah segala yang berlaku,” katanya.
Leave a Reply