TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui perlu bekerja lebih kuat bagi menghadapi Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurut bekas Menteri Besar Perak itu, ini kerana Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador bukancalang-calang orang.
“Saya perlu bekerja lebih kuat lagi sebab orang yang nak bertanding dengan saya ini bukan calang-calang orang, yang saya kira tahap boleh jadi Perdana Menteri.
“Jadi tentunya saya kena kerja lebih kuat untuk memastikan saya terpilih sekali lagi di Parlimen Tambun ini (kekalkan kerusi Tambun),” katanya kepada pemberita ketika menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Norhayati Abdul Rahim di Manjoi, Ipoh, hari ini.
Norhayati, 39, yang juga ibu tunggal kepada empat anak kematian suami sekitar tiga bulan lalu.
Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, ketika masih berjawatan dan sedang memikul tanggungjawab, beliau berikrar untuk terus menggandakan kerja.
Bahkan, beliau juga berharap akan terus menabur bakti pada masyarakat pada masa depan.
Selain Tambun, Ahmad Faizal juga berharap dapat berkhidmat lebih baik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang memerlukan lebih banyak pembangunan.
Pada 25 September lalu, Farhash Wafa Salvador menegaskan beliau mungkin akan bertanding di mana sahaja Ahmad Faizal bertanding kerana Timbalan Presiden Bersatu itu dilihat sebagai calon ‘heavyweight’.
Leave a Reply