Pemegang pas jangka panjang wajib divaksin untuk masuk Singapura

PEMEGANG pas jangka panjang perlu lengkap divaksin bagi memasuki Singapura sebagai langkah membendung penularan Covid-19 mulai 1 November ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) yang mengumumkan ketetapan baharu itu memberitahu, peraturan itu adalah usaha untuk membolehkan pekerja penting dan pelajar asing meneruskan urusan mereka di Singapura tanpa menjejaskan risiko kesihatan awam di sini.

“Peraturan itu dikenakan buat pemegang pas kerja dan tanggungan mereka serta individu yang memasuki Singapura di bawah Laluan Pemegang Pas Pelajar.

“Bagaimanapun, pemegang pas jangka panjang di bawah usia 18 tahun buat masa sekarang akan dikecualikan daripada ketetapan itu ketika memasuki republik tersebut.

“Bagaimanapun, mereka yang berusia 12 dan 18 tahun perlu melengkapkan vaksinasi dua dos dalam masa dua bulan selepas tiba di Singapura,” MOH yang mengumumkan ketetapan baharu itu semalam sebagai antara butiran usaha mengemaskinikan langkah kawalan sempadan Singapura.

Mulai Rabu ini, langkah sempadan sedia ada bagi pengunjung yang masuk ke negara ini akan ditentukan berdasarkan sejarah perjalanan terkini individu berkenaan dalam tempoh 14 hari lalu dan bukannya 21 hari lalu.

Sebagai tambahan, tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) bagi pengunjung tertentu akan dipendekkan daripada 14 hari kepada 10 hari, sejajar tempoh kuarantin bagi pesakit Covid-19 setempat, melihat pada tempoh inkubasi lebih singkat varian Delta.

Ini bermakna mereka yang mengunjungi negara atau rantau Kategori III dan IV dalam tempoh 14 hari sebelum tiba di Singapura akan dapat menjalani 10 hari SHN di kemudahan khusus.

Singapura menggolongkan negara dan rantau kepada empat kategori berdasarkan risiko jangkitan Covid-19 dengan langkah sempadan dibezakan bagi setiap kategori.

Mereka yang berkunjung ke negara atau rantau Kategori III dan sudah menjalani vaksinasi lengkap boleh memohon menjalani SHN di kediaman mereka atau penginapan lain seperti hotel atau pangsapuri servis.

Pengunjung yang belum divaksin masih perlu menjalani SHN di kemudahan khusus.

Bagi pengunjung yang memasuki Singapura di bawah Laluan Hubungan Kekeluargaan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), keutamaan akan diberikan buat mereka yang sudah menjalani vaksinasi lengkap.

Pemilik pas yang layak secara perubatan bagi menjalani vaksinasi boleh memohon bagi pengecualian daripada ketetapan vaksinasi sebelum memohon masuk ke Singapura dan harus disokong dengan memo doktor. – Agensi


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *