Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan kajian secara menyeluruh berhubung isu anggota polis asnaf khususnya membabitkan anggota polis yang bergaji kecil.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, akan mencari kaedah terbaik untuk menjaga kebajikan anggota polis yang dibelunggu keberhutangan tinggi ini.
“Anggota asnaf selalunya terlibat dengan keberhutangan tinggi. Sebagai contoh, anak hendak sambung belajar atau ada musibah menimpa diri, mereka akan berhutang.
“Jadi, bila berhutang, gaji mereka akan jadi kecil dan sebab itu kita kena lihat daripada segi kebajikan mereka. Tugas polis ini mempunyai kuasa dan untuk itu kita tak mahu mereka ini melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
“Jika untuk pesara polis kita ada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP), kita akan tengok dari wang kebajikan yang lain (untuk membantu anggota asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mazlan berkata, PDRM sedang mendapatkan jumlah sebenar berapa ramai anggota polis yang berdepan dengan isu tersebut.
“Kita kena perhalusi kerana ada yang berhutang tidak sepatutnya seperti membeli kereta besar. Hasil dapatan kajian itu, kita dapat beri pada yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Pada program tersebut, seramai 20 pesara polis di negeri ini menerima sumbangan asnaf pesara PDRM bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
Mazlan memberitahu, bantuan secara one-off itu merangkumi bantuan pengurusan jenazah sebanyak RM1,500, bantuan pergerakan (maksimum RM1,000), bantuan perubatan (maksimum RM5,000), bantuan pendidikan (RM3,000) dan bantuan bencana alam (maksimum RM10,000).
Sejak Januari hingga Mei lalu, seramai 887 penerima mendapat manfaat bantuan sumbangan TAWP berjumlah RM1.59 juta.
Leave a Reply