Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TINDAKAN peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sejak negeri ini beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga kelmarin memakan diri apabila dikenakan kompaun RM2,500.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 25 kompaun tersebut selepas pihaknya memeriksa 2,760 pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negeri sepanjang tempoh tersebut.
Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, 25 kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Timbang Sukat (ATS) 1972.
“Selain kompaun, KPDNHEP Johor turut mengeluarkan 30 notis kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Mohd. Hairul Anuar berkata, pihaknya juga mengeluarkan 26 kompaun ke atas pesalah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan nilai kompaun RM129,500.
“Jumlah itu direkodkan sejak pelaksanaan penguatkuasaan KPDNHEP terhadap pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Mei tahun lalu sehingga kelmarin.
“Pemeriksaan dan pemantauan ini akan terus dipertingkat dalam tempoh Fasa 2 PPN bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas di pasaran mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.
“Kita juga konsisten dan bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan mengikut SOP supaya sektor ini tidak terjejas,” ujarnya.
Pihaknya maklum aduan berhubung kenaikan beberapa jenis barangan keperluan harian seperti barang basah dan segar terutama di lokasi tumpuan sejak kebelakangan ini.
Tindakan proaktif katanya, sudah diambil dengan mengumumkan harga kawalan bagi barangan mendapat permintaan tinggi ketika ini seperti Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 dan penetapan harga minyak masak jenis botol yang dijangka terus meningkat sekiranya tidak dikawal.
“Antara tindakan yang dikuatkuasakan mengikut AKHAP 2011 dalam memastikan kestabilan harga barang di pasaran adalah dengan mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga dan memastikan penjualan barang pada harga terkawal.
“Selain itu, KPDNHEP Johor turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga ke atas barangan yang dijual,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Hairul Anuar mengetuai proses pemantauan dan pemeriksaan yang diadakan di sekitar Pusat Perniagaan Bandar Baru Uda dan pusat beli-belah Angsana Johor Bahru di sini.
Leave a Reply