pimpinan

Siapa cukup SD boleh jumpa pucuk pimpinan

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meminta pihak yang didakwa memiliki bilangan akuan bersumpah (SD) yang boleh membentuk kerajaan negeri yang baharu untuk berjumpa dengan pucuk pimpinan.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu menyifatkan kemelut yang sedang berlaku di negeri itu ketika ini sebagai perkara biasa dalam dunia politik.

Malah ujar beliau, desas-desus itu langsung tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri yang masih memiliki 17 kerusi antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bebas.

“Siapa hendak jadi ketua menteri datanglah, boleh jumpa pihak kepimpinan, itu sahaja. Kalau SD sudah cukup 20 ke sekalipun, silakan.

“Saya lebih fikir masalah rakyat, saya tidak mahu bercakap soal politik kerana rakyat akan menilai dan menghukum kita apabila tiba masanya. Sampai masa nanti kita berperanglah dalam Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Kemelut politik di Melaka kembali diperkatakan selepas sekurang-kurangnya empat ADUN dikaitkan akan menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan UMNO termasuk dua daripadanya wakil rakyat parti itu sendiri.

Empat pemimpin yang disebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Bagaimanapun, Norhizam yang sebelum ini Timbalan Pengerusi DAP Melaka menafikan laporan berkenaan.

Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau bersama barisan Exco kerajaan negeri masih memimpin dan menguruskan Melaka seperti biasa.

“Ini adalah perkara biasa dalam dunia politik ataupun kancah politik. Tetapi apapun selagi saya terus diberi mandat oleh kerajaan sedia ada untuk memimpin dan menguruskan Melaka ini, saya akan berjalan seperti biasa, dan apabila diminta turun, saya akan turun lah.

“Sama ada usaha untuk menggugat perjalanan kerajaan negeri itu terarah kepada kebaikan atau untuk kepentingan, saya tidak peduli. Dalam dunia politik itu normal,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *