SUSULAN insiden rusuhan pada 28 September lalu, Tokong Chee How di Salak Selatan, Kuala Lumpur meminta maaf kepada pihak berkuasa dan orang ramai.
Memetik laporan Malaysiakini, pihak tokong berkenaan berkata, mereka akan menarik semula tuntutan terhadap tanah tersebut dan akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.
“Kami dengan rasa amat kesal dan memohon maaf berhubung kekeliruan dan kontroversi yang timbul dari insiden itu.
“Kami akan menyerahkan kunci pagar yang berdekatan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Kementerian Pendidikan agar mereka dapat melakukan kerja-kerja pembinaan yang sewajarnya,” kata pengurusan tokong itu dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, seramai 24 individu telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di depan tokong berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari kejadian berkata, kira-kira pukul 11.45 pagi hingga 4 petang, satu operasi telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.
Menurut beliau, dalam operasi tersebut pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.
“Semasa operasi sedang dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi.
“Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, beliau menghargai usaha presiden Tokong Chee How, Yap Chee Fong yang memohon maaf dan menjelaskan situasi itu kepadanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pertemuan diadakan antara kementeriannya, Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan, serta pihak-pihak yang terlibat untuk menjelaskan pembinaan sekolah menengah baharu di sebelah tokong tersebut.
Hang Soon berkata, sekolah itu akan memberi manfaat kepada keperluan penduduk setempat kerana 7,000 unit rumah program perumahan rakyat (PPR) akan dibina berdekatan lokasi tersebut.
Beliau menambah bahawa rancangan projek tersebut bermula pada tahun 2017 dan kementerian mendapati bahawa tanah rizab sekolah itu adalah lokasi paling strategik untuk membina sekolah menengah baru.
“Kejadian yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan polemik dan provokasi, diputar belit dengan fakta sebenar.
“Oleh itu, berdasarkan kenyataan dari Yap sebagai presiden tokong, saya menggesa supaya semua pihak untuk melihat kejadian ini secara menyeluruh dan rasional untuk kesejahteraan semua.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tokong yang berjanji untuk menyerahkan kunci pagar dan tanah itu kepada Pejabat Tanah dan Galian dan Kementerian Pendidikan kerana meneruskan kerja-kerja,” jelasnya.
Leave a Reply