PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memohon maaf berhubung insiden bekalan elektrik terputus di Jambatan Pulau Pinang malam tadi sehingga menyebabkan pengguna bergelap selain berlaku kesesakan di plaza tol jambatan tersebut.
Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid berkata gangguan bekalan elektrik itu berlaku bermula pukul 8.23 malam tadi.
Jelasnya, bekalan elektrik di kawasan sekitar pulau dan Seberang Jaya yang menghubungkan jambatan turut terjejas buat sementara waktu.
“PLUS memohon maaf atas kesulitan akibat gangguan tersebut dan pihak kami sedang melakukan kerja-kerja membaik pulih bagi memulihkan situasi itu secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Kejadian itu tular malam tadi apabila beberapa pengguna memuat naik mengenainya di lama sosial media masing-masing dengan ada yang berasa hairan dan meminta penjelasan lanjut.
Sementara itu, Syed Mohammed berkata, PLUS juga berharap pengguna Jambatan Pulau Pinang bersabar dalam memahami situasi berkenaan.
“Pihak kami juga sedang memulihkan kembali bekalan elektrik di plaza tol dan jambatan dengan kadar segera.
“PLUS juga ingin memaklumkan semua lorong kini telah berfungsi seperti biasa dan kami akan terus memaklumkan dari semasa ke semasa sebarang perkembangan terkini,” katanya.
Tambahnya, pelanggan yang sedang menuju ke jambatan juga dinasihatkan memandu berhati-hati dan memastikan jarak yang selamat dari kenderaan di hadapan setiap masa.
Leave a Reply