
KATA Datuk Seri Ahmad Maslan ‘’ Borang pencalonan perlu dihantar sebelum 14 hari Dewan Rakyat bersidang. Bagi sesi seterusnya Dewan Rakyat akan bersidang pada 25 Oktober.
“Maka saya ada tempoh 10 hari untuk berfikir dan berbincang tentang perkara itu. Tunggu sedikit masa lagi untuk saya berbincang bagi mendapatkan kata putus berhubung pencalonan jawatan Timbalan Speaker.’’
Ahli Parlimen Pontian juga percaya masih ada ruang perbincangan bagi membolehkannya mengisi kekosongan jawatan itu walaupun sebelum ini pencalonannya terhadap jawatan Timbalan Speaker ditolak Ahli Parlimen Bersatu.
Baguslah kalau mahu buka ruangan perbincangan. Tetapi Ahmad Maslan patut bertanya juga kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, kenapa sebelum ini tiada ruang perbincangan dibuka ketika mahu menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri?
Bukankah Ahmad Maslan merupakan salah seorang daripada 15 orang ahli Parlimen yang bertindak demikian? Kenapa baru sekarang mahu bercakap soal perbincangan?
Begitu juga apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, parti itu tidak akan mengadakan sebarang perbincangan dengan Bersatu dalam soal pembahagian kerusi PRU-15, kenapa tidak dibuka dulu ruang untuk perbincangan sebelum membuat kenyataan sedemikian?
‘Paling klasik’ apabila Ahmad Zahid semalam menegaskan, UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.
Ahmad Zahid juga menegaskan, keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang telah dimuktamadkan atas alasan ia bukan sekadar ketetapan Majlis Tertinggi tetapi lahir daripada suara di peringkat akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Kalaulah UMNO boleh memuktadkan sesuatu keputusan tanpa mahu membuka ruang kepada sebarang perbincangan, kenapa pula Bersatu harus berbincang dengan UMNO bagi memilih Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat?
Ahmad Maslan perlu faham bukan Bersatu sahaja membuat keputusan tidak menyokong beliau malah lima lagi parti dalam gabungan Perikatan Nasional turut berbuat demikian. Jadi kalau Ahmad Maslan mahu berbincang beliau kena berbincang dengan kesemua mereka.
Tetapi soalnya adakah keenam-enam parti itu termasuk Bersatu bersedia berbincang dengan Ahmad Maslan atau UMNO, selepas beliau bersama 14 lagi Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin hingga menyebabkan Kerajaan Perikatan Nasiobal tumbang?
Lebih baik jika Ahmad Maslan tidak menaruh harapan untuk beliau memegang jawatan Timbalan Speaker. Ia memandangkan PN sudah membuat keputusan muktamad, gabungan itu tidak perlu mengadakan sebarang perbincangan bagi menyokong Ahmad Maslan.
Apa hal pula dalam soal lain tidak mahu berbincang dengan PN dan Bersatu tetapi bila menyentuh soal kepentingan UMNO tiba-tiba cakap masih ada ruang perbincangan…politik apakah ini?
Tidak tahu la pula kalau maksud Ahmad Maslan perbincangan itu bukan melibatkan PN sebaliknya dengan PH atau ahli-ahli Parlimen pembangkang lain tetapi kalau melihat reaksi Majlis Presiden PH yang mempersoalkan pembebasan beliau, semua orang dah tahu apa nak berlaku.
Sepatutnya masa 10 hari ini Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung UMNO mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih orang lain.Kalau tidak biarkan sahaja pembangkang mengisinya sekaligus mengelakkan pertambahan bajet Dewan Rakyat bagi jawatan Timbalan Speaker ketiga. Ada berani?
Leave a Reply