pemimpin UMNO

Kerana nafsu serakah, pemimpin UMNO tergamak tinggal parti

Oleh RAHIMI MOHAMAD

PENGKHIANATAN terhadap parti amat jelas boleh dilihat apabila ada pemimpin UMNO yang tidak tahan dengan nafsu serakah mereka ingin mendapatkan kuasa dan pangkat, kata Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Dalam hantaran di Facebooknya, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata, pemimpin seperti itu sanggup melompat dan meninggalkan parti demi mendapatkan kedudukan, yang tidak ubah seperti pelacur politik melacurkan diri demi habuan.

“Pemimpin seperti ini tindakan mereka tidak senada dengan kata-kata mereka. Katanya kurangkan jurang perbezaan, cari titik persamaan dan seperkara lagi yang sering dilaungkan biduk berlalu kiambang bertaut. (Tetapi) semuanya hanya hipokrit semata-mata.

“Jika ada pemimpin seperti ini ia perlu dijauhkan kerana mereka tidak ada sifat setia kepada parti dan mereka tidak boleh buat kawan, kerana sifat seperti ini mereka bila-bila masa boleh tikam belakang dan mengkhianati perjuangan yang telus,” katanya merujuk dengan perkembangan semasa yang berlaku di Melaka.

Kata Mohamad Ali, sebagai ahli dan pemimpin UMNO, mereka wajib berjuang untuk membela untung nasib rakyat, agama dan negara. Malah perjuangan yang dibawa wajar mengenepikan kepentingan peribadi semata-mata.

Menurut beliau, perjuangan yang dibawa perlu telus dan ikhlas agar segala matlamat perjuangan untuk rakyat tercapai, selain agama Islam terbela dan kedaulatan negara terus unggul disamping tanah yang berdaulat terus membangun dengan pesat.

“Akan tetapi apabila perjuangan itu berteraskan kepentingan peribadi untuk mendapatkan kuasa, kedudukan dan laba, maka perjuangan itu akan terpesong sehingga mewujudkan akhlak dan peribadi yang tidak baik.

“Seperti mempunyai sikap hasad dengki, berhati busuk, menipu, memfitnah serta sanggup menjadi pengkhianat dengan mengkhianati parti sendiri,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu turut mengakui, perkara yang berlaku semalam menyebabkan beliau sukar melelapkan mata, tetapi bukan kerana takut atau gusar namun memikirkan mengenai erti sebuah perjuangan di dalam arena politik pada masa kini.

“Dari pagi sampai ke malam, seusai urusan kerja di Kuala Lumpur, saya pulang ke Melaka. Setiba di Melaka saya mendapat berita yang sangat tidak enak untuk didengari, malah saya menerima banyak panggilan daripada sahabat saya serata negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Sulaiman Md. Ali terus kukuh dan stabil dalam memberi fokus kepada pembangunan dan kemajuan negeri Melaka demi keselesaan rakyat.

“Buat semua ahli dan pemimpin UMNO, bulatkan tekad agar terus setia bersama UMNO, ketepikan mereka yang mengkhianati parti. Kita terus melangkah memperjuang agama, bangsa dan negara,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *