POLIS Pulau Pinang menahan seramai 12 individu bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di Lebuh Farquhar, Georgetown tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah malam itu, pergaduhan mula tercetus di antara mereka yang sedang minum di sebuah restoran dipercayai kerana berlaku salah faham.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, kesemua 12 lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di sekitar Georgetown.
“Mereka direman sehingga esok dan kes itu akan disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu video pergaduhan dua kumpulan lelaki itu yang berdurasi hampir 40 saat tular dalam media sosial hari ini dengan ada di antara mereka dilihat menggunakan tukul besi.
Leave a Reply