Oleh MOHD LAZIM ENDUT
WALAUPUN kerajaan telah menetapkan harga kawalan bagi minyak masak botol, masih ada peniaga yang degil dan menjual melebihi harga ditetapkan.
Ini terbukti apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mengesan seramai 111 peniaga di seluruh negara yang masih menjual minyak masak botol melebihi harga kawalan.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, ia dikesan melalui penguatkuasaan harga runcit maksimum minyak masak botol yang dilaksanakan bermula 1 Ogos hingga 1 Oktober lalu.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 19,266 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara melibatkan minyak masak dalam kuantiti 1kilogram (kg) hingga 5kg.
“Daripada jumlah tersebut, kita berjaya mengesan 111 kes peniaga menjual minyak masak dalam botol melebihi harga kawalan dan kita terpaksa menyita barangan itu melibatkan nilai RM13,961.50 dan kompaun RM26,850.
“Ia adalah selaras mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2021, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana kesalahan menjual melebihi harga maksimum,” katanya kepada media selepas melawat lokasi ternakan kelulut di Kampung Machang, Ajil hari ini.
Rosol memberitahu, kes tertinggi yang dikesan adalah Johor (44) Perak (23), Pulau Pinang (9) Pahang (4) manakala Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Melaka (6) diikuti Negeri Sembilan (3), Sabah (2) dan masing-masing satu kes di Kedah dan Selangor.
Beliau memaklumkan, harga maksimum runcit ditetapkan bagi minyak masak sawit tulen dalam botol ialah RM29.70 melibatkan botol 5kg, RM18.70 (3kg), RM12.70 (2kg) dan RM6.70 (1kg).
Katanya, bagi harga minyak masak bersubsidi dalam peket 1kg pula ialah RM2.50.
Leave a Reply