Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEORANG pegawai dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu yang bertugas di pejabat daerah Kuala Terengganu disahkan positif Covid-19 dan 31 lagi sedang dikuarantin.
Menurut Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, sehingga ini tujuh anggotanya yang positif Covid-19 sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus dan dua lagi menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.
Justeru katanya, pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat pula diminta menjalani proses kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Gong Badak.
“Bagaimanapun keadaan sembilan anggota berkenaan dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurut Mohd Rosman, salah seorang pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat APM negeri turut disahkan positif Covid-19.
Sehubungan itu katanya, seramai 15 pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat pegawai terbabit turut menjalani kuarantin dan setakat ini pihaknya belum mempunyai maklumat mengenai punca jangkitan terhadap pegawai dan anggota yang didapati positif.
“Apapun perkembangan ini, APM tetap meneruskan aktiviti harian termasuk persiapan menghadapi bencana banjir,” jelas beliau.
Leave a Reply