Mampukah kerajaan UMNO Melaka bertahan?

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KEDUDUKAN kerajaan negeri Melaka yang kini diterajui UMNO menimbulkan tanda tanya selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada parti itu dikatakan akan menarik sokongan.

Bagaimanapun, difahamkan ‘gerakan’ berkenaan tidak boleh diteruskan buat masa ini berikutan beberapa halangan tertentu termasuk tentangan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) sendiri sekiranya mereka dapat membentuk kerajaan baharu.

Daripada empat nama yang disebut-sebut, dua daripada mereka merupakan ADUN UMNO.

Akhbar Sin Chew melaporkan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron antara yang kuat menyokong kerjasama dengan pembangkang.

Pemimpin lain yang turut disebut bersama ADUN Sungai Udang itu ialah, ADUN Pantai Kundor dari UMNO, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad serta ADUN Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Namun, Norhizam yang mewakili kerusi Pangkalan Batu menafikan dakwaan tersebut ketika dihubungi Astro AWANI petang ini.

“Setakat 4.35 petang ini tidak ada apa-apa pun yang bergoyang, semuanya masih berjalan seperti biasa.

“Ada yang kata saya nak masuk sana sini, apa punya cakap itu? Semua boleh cakap. Biarlah orang bercakap, terpulanglah mulut masing-masing.

“Semua nampak saya dah bergaduh dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, takkan saya nak bergaduh lagi ? Saya selalu turun padang, mungkin mereka sakit hati nampak saya buat kerja dengan tenang sekarang ni,” katanya.

Pada masa ini, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mempunyai 17 kerusi DUN, manakala pembangkang pula 11. Jika empat ADUN tersebut beralih arah, ia bermakna PH akan mempunyai majoriti 15 kerusi untuk kembali memerintah.

Sebelum ini, PH yang memerintah Melaka sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terpaksa melepaskan tampuk kepimpinan selepas empat ADUN termasuk dari Bersatu iaitu Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyokong UMNO.

Seorang lagi yang mengikut jejak mereka ketika itu ialah Noor Effandi sebelum Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka yang disandang ketika itu membuat pengumuman memberi sokongan kepada gabungan kerajaan negeri baru.

Bagaimanapun, Norhizam kekal menjadi ADUN Bebas sehingga kini, manakala Muhammad Jailani yang sebelum itu berada dalam PKR menyertai UMNO pada Januari lalu.

Dalam pada itu, difahamkan terdapat usaha pihak tertentu yang memohon untuk bertemu dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, namun tiada maklumat lanjut diperolehi setakat ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *