Kerjasama KeTSA-TNB pacu peralihan sumber tenaga

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedia bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memacu peralihan sumber tenaga di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, komitmen itu tepat pada masanya berikutan TNB sedang dalam rundingan dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memuktamadkan cadangan Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

“Cadangan ini untuk dilaksanakan mulai tahun depan. Saya amat bangga dan cukup berpuas hati dengan penerangan serta penjelasan ke hadapan (way forward) yang telah disampaikan kepada saya.

“Kita boleh menilai betapa besarnya sumbangan industri tenaga ini kepada kehidupan rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan kerjanya yang pertama di Ibu Pejabat TNB di Bangsar.

Tempoh tiga tahun RP3 dijadualkan bermula pada 1 Januari 2022 susulan tempoh RP2 dilanjutkan setahun sehingga 31 Disember ini berikutan pandemik Covid-19.

KeTSA sedia bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memacu peralihan sumber tenaga di Malaysia

Pelaksanaan RP3 dijangka membolehkan TNB mengukuhkan peranan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk dari aspek kajian tarif dan pelaburan modal bagi tempoh tiga tahun akan datang, seiring untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menyifatkan TNB sebagai jantung negara dalam industri tenaga dengan memberi jaminan untuk bersama-sama dengan TNB mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan kehendak industri, selain menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Justeru, saya akan sentiasa berusaha untuk memastikan keseimbangan ini. Saya akan bersama-sama dengan kepimpinan TNB mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan antara kedua-dua tanggungjawab ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB adalah antara agensi yang menggerakkan kemajuan negara, malah berpotensi menjadi pelopor kepada pembangunan ekonomi baharu negara.

Sepanjang pandemik, beliau berkata, TNB telah membantu kerajaan dengan pemberian diskaun bil elektrik berjumlah RM313 juta untuk tahun 2020 dan 2021 kepada rakyat, selain bantuan menerusi pelbagai inisiatif lain seperti program Bakul Prihatin Negara bernilai RM2 juta.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *